mutakhir

Kerajaan PP tanggung kos pembenihan awan

Oleh Audrey Dermawan

KERAJAAN Pulau Pinang akan menanggung kos operasi pembenihan awan yang akan dilaksana dengan bantuan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), kata Ketua Menterinya Chow Kon Yeow.

Beliau berkata, inisiatif itu bagi memastikan bekalan air di enam empangan di Pulau Pinang dan Kedah tidak terjejas.

Katanya, pihaknya juga sudah menerima maklum balas daripada MetMalaysia yang bersedia membekalkan keperluan teknikal sepanjang proses.

“Demi kepentingan 3.95 juta orang di Penang dan Kedah yang perlukan bekalan air untuk mengekalkan kebersihan diri sepanjang pandemik Covid-19 ini, kerajaan negeri komited untuk melaksanakan dan menanggung kos pembenihan awan.

“Diharapkan proses ini dapat dijalankan secepat mungkin untuk keselamatan dan kesihatan rakyat,” katanya hari ini.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk Jaseni Maidinsa meminta supaya MetMalaysia mempertimbangkan pembenihan awan di utara tanah air untuk menggalakkan hujan terutama di kawasan enam empangan yang semakin menyusut.

Mengulas lanjut, Chow berkata, kerajaan negeri sudah memohon untuk pembenihan awan sejak 5 Mac lalu menerusi surat yang dikemukakan kepada MetMalaysia dan Kementerian Alam Sekitar dan Air pada 10 April.

Katanya, maklum balas agensi itu diterima hari ini yang menyatakan kesediaan untuk melakukan proses pembenihan awan sekiranya bersesuaian.

Mengikut rekod, prosedur pembenihan awan boleh mencecah RM27,000.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 15, 2020 @ 5:31pm
    d