mutakhir

KKM sasar saring pelajar tahfiz [METROTV]

Oleh Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim

SASARAN terbaru Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ialah menyaring pelajar madrasah tahfiz selepas kejayaan mengesan jemaah tabligh di perhimpunan Sri Petaling.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini KKM menerima maklumat terdapat 8,616 pelajar tahfiz dan 1,736 sudah disaring di madrasah masing-masing.

“Mereka yang ada di madrasah kita dah saring tetapi kebanyakan mereka pun dah pulang ke rumah sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Daripada jumlah 1,736 orang yang disaring, seramai 217 kes positif membabitkan pelajar tahfiz iaitu lebih kurang 10 peratus,” katanya dalam sidang media harian hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, saringan untuk jemaah tabligh pula lapan peratus manakala saringan kontak rapat yang positif dan keluarga pula 31 peratus.

“Sekarang ini KKM akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi lain untuk mengesan, menyaring dan melaksanakan ujian kepada pelajar tahfiz kita,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, kluster persidangan gereja di Sarawak memudahkan mereka mengesan peserta berikutan mempunyai rekod berbanding perhimpunan jemaah tabligh.

“Kita menggunakan kaedah sama untuk pengesanan kontak dengan jemaah tabligh, cuma apabila nama persidangan mereka memang mempunyai rekod peserta yang hadir.

“Berbeza dengan jemaah tabligh, mereka tiada rekod nama peserta, siapa solat sebelah kita pun kita tidak tahu.

“Setakat ini, kluster persidangan gereja ini terkawal dan tiada perkembangan terbaru,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 15, 2020 @ 7:16pm
    d