mutakhir

Amalan KKM sumbang kejayaan rawatan

Oleh Rafidah Mat Ruzki

KAEDAH diamalkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menangani pesakit Covid-19 di negara ini dilihat membantu mendapat hasil lebih baik berbanding negara seperti United Kingdom dan Itali.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia berikutan KKM mengambil langkah mengasingkan pesakit yang didapati positif Covid-19 di hospital walaupun mereka tidak bergejala atau mempunyai sedikit gejala.

Katanya, ia berbeza dengan United Kingdom dan Itali yang menasihati pesakit yang positif dan tidak bergejala atau mempunyai sedikit gejala untuk berada di rumah.

“Di negara ini, kita memastikan pesakit yang positif diasingkan di hospital supaya kita boleh mengawasi mereka dengan rapat.

“Berikutan pengawasan rapat ini serta rawatan yang diberikan, kita melihat hasil yang lebih baik,” katanya pada sidang media harian Covid-19, hari ini.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, kadar nisbah jangkitan dalam kalangan pesakit selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu dan dua dilihat menunjukkan penurunan berbanding sebelum itu.

Beliau berkata, walaupun kebolehjangkitan ketika ini sebanyak 2,342, kira-kira 300 melebihi sasaran KKM pada 2,033, pihaknya yakin jumlahnya masih dalam julat yang sama.

Justeru, beliau berharap dengan negara kini memasuki fasa tiga PKP, jumlah berkenaan dapat diturunkan.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, walaupun jangka masa utama untuk jangkitan adalah selama 14 hari, seseorang pesakit tidak akan dibenarkan pulang jika ujian ulangan terhadap mereka masih didapati positif.

Katanya, jika masih didapati positif, pihaknya perlu memastikan pesakit dirawat di hospital.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 15, 2020 @ 8:23pm
    d