mutakhir

Bantu kucing terbiar juga [METROTV]

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

WALAUPUN bukan pencinta kucing, namun atas dasar prihatin mendorong empat anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Manjung (MPM) memberi makan kepada lebih 20 haiwan terbiar itu di Teluk Batik, Lumut sejak bulan lalu.

Usaha itu dilakukan Azrizan Abu Othman, Zamizan Hassan, Mohd Farid Che Yahya dan Mohd Hafiz Mahmud setiap hari atau dua kali sehari dengan membawa 1.5 kilogram (kg) makanan kucing untuk menjamu haiwan itu.

Azrizan, 38, berkata, mereka mengambil tindakan itu kerana menyedari haiwan berkenaan sukar mendapatkan makanan berikutan tiada kedai dibuka dan Teluk Batik sudah tidak dikunjungi pelawat susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kami menyedari kehadiran kucing berkenaan ketika menjalankan pemantauan dan tugasan di kawasan itu. Sebaik turun dari kenderaan, kucing itu terus datang serbu kami.

“Haiwan berkenaan nampak seperti lapar dan atas dasar prihatin kami pergi beli makanan untuk diberikan kepada semua kucing di situ,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, mereka juga mengambil keputusan untuk terus memberi makan kepada kucing berkenaan dengan bergilir-gilir membeli makanan haiwan itu menggunakan wang sendiri.

“Kami bukanlah pencinta kucing tetapi belas kasihan tetap ada kerana sedar sepanjang tempoh PKP haiwan itu turut terjejas apabila sudah tiada pengunjung datang ke sini selain tiada gerai yang dibuka.

“Dalam kesibukan tugas kami mengambil sedikit masa singgah ke Teluk Batik untuk beri makan kepada haiwan berkenaan pada pagi dan petang atau pagi saja,” katanya yang akan teruskan usaha itu hingga tempoh pelaksanaan PKP tamat.

Katanya, inisiatif itu turut mendapat perhatian kakitangan MPM lain apabila mereka juga menyumbangkan makanan untuk diberikan kepada kucing terbiar berkenaan.

Rakannya, Mohd Hafiz pula berkata, mereka seronok melihat kucing berkenaan makan makanan yang diberikan dan haiwan itu juga sudah mengenal kenderaan, malah akan menunggu mereka untuk mendapatkan makanan.

Katanya, mereka juga akan menunggu beberapa minit selepas memberi makanan supaya kucing tidak diganggu monyet liar dari hutan berhampiran yang akan merampas makanan.

“Kami tidak beri makan kepada monyet dan itu juga saranan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan). Jika monyet diberi makan, haiwan itu boleh meninggalkan habitat asalnya sekaligus akan menimbulkan kacau ganggu,” katanya.

Disiarkan pada: April 16, 2020 @ 10:28am
d