mutakhir

Perbicaraan kes rasuah Bung Mokhtar sambung 29 April

Oleh BERNAMA

PERBICARAAN kes rasuah Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Ezette A. Samad akan bersambung pada 29 April ini di Mahkamah Sesyen di sini.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry berkata ini susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April ini yang diumumkan oleh kerajaan.

“Saya dimaklumkan oleh jurubahasa Mahkamah Sesyen bahawa tarikh pada 29 April, 12-15 Mei dan 21 Mei dikekalkan untuk sambung bicara,” katanya menerusi Whatsapp.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 10 April, 17 April, 28 dan 29 April serta 12-15 Mei dan 21 Mei untuk sambung perbicaraan.

Menurut Mohamad Fadhly, pihak pembelaan akan menyoal balas saksi pendakwaan kelima, ahli Lembaga Pengarah (ALP) Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra Berhad), Dr Habibah Suleiman, 72, apabila perbicaraan bersambung di hadapan hakim Rozina Ayob.

Bung Moktar, 60, berdepan dua pertuduhan menerima rasuah sejumlah RM2.2 juta dan RM262,500 daripada ejen pelaburan Madhi Abdul Hamid, 38, melalui Zizie Ezette, sebagai dorongan bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual ketika beliau menyandang jawatan sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra.

Dia juga didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM337,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui Zizie Ezette bagi tujuan sama.

Kesemua pertuduhan adalah mengikut Subseksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Ezette, 41, yang juga seorang pelakon, pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa sama mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman sama.

Disiarkan pada: April 16, 2020 @ 2:16pm
d