mutakhir

Mengaku tipu jualan penutup hidung, mulut

Oleh Amran Yahya

REMAJA perempuan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini terhadap tuduhan melakukan penipuan penjualan penutup hidung dan mulut dalam talian pada bulan lalu.

Tertuduh yang berusia 18 tahun membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nariman Badruddin.

Berdasarkan pertuduhan, remaja berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu pada 23 Mac lalu bertempat di sebuah rumah di Berek Polis Jalan Bahau.

Dia didapati menerima wang milik seorang lagi wanita sebanyak RM80 selepas ia dimasukkan ke dalam akaunnya di mana wang berkenaan adalah hasil penipuan pembelian penutup hidung dan mulut secara dalam talian.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM1,000 dan menetapkan 2 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes memandangkan tertuduh berumur di bawah 21 tahun dan mahkamah menunggu laporan akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Muhaimin Mohd Azman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: April 16, 2020 @ 2:19pm
d