mutakhir

Bersih pasar, kompleks makanan lebih kerap

Oleh Zuhainy Zulkifli

SEBANYAK 56 pasar awam dan 79 kompleks makanan di Pulau Pinang akan menjalani kerja pembersihan lebih kerap sebagai usaha mengekang penularan Covid-19 di tempat awam.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, terdapat 26 pasar awam dan 34 kompleks makanan di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang terbabit dengan kerja pembersihan itu.

Beliau berkata, manakala di bawah Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pula membabitkan sebanyak 30 pasar dan 45 kompleks makanan.

“Kerja pembersihan ini memang sudah dijalankan MBPP dan MBSP sejak pandemik ini melanda, namun kini ia dilakukan dengan lebih kerap setiap hari selepas tamat operasi pasar.

“Sehingga kini, ia membabitkan kos sebanyak RM67,691 daripada MBPP membabitkan RM62,360 kos bahan cucian dan RM5,331 bagi peralatan pembersihan,” katanya ketika melakukan pemantauan serta demonstrasi pembersihan di Pasar Awam Jelutong, Georgetown, hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang.

Kerja pembersihan dilakukan membabitkan pencucian lantai menggunakan ‘scabbler machine’ dan nyah cemar pada semua tempat pemegang.

Sebanyak RM1.945 juta diperuntukkan terhadap peralatan perlindungan diri (PPE) termasuk bahan nyah cemar yang diberi Kerajaan Negeri kepada MBPP dan MBSP di bawah Pakej Rangsangan Pulau Pinang.

Jagdeep berkata, kerja pembersihan turut dilakukan di sebanyak 28 skim perumahan awam berstrata di Pulau Pinang dengan komposisi 12,487 unit.

Katanya, ia membabitkan sejumlah 120 pekerja pembersihan yang menyelenggara dengan kos sebanyak RM142, 655.65 sebulan.

“Pihak MBPP dan MBSP akan memastikan langkah kebersihan di skim ini dipatuhi selaras dengan arahan yang diterima kementerian.

“Terdapat 1,341 skim dengan 221,594 petak di bawah MBPP manakala MBSP mempunyai 514 skim dengan 79,594 petak,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 16, 2020 @ 2:42pm
    d