mutakhir

Tidak perlu permohonan baru [METROTV]

Oleh Yusmizal Dollah Aling dan Muhaamad Hafis Nawawi

INDUSTRI atau syarikat termasuk pengilang yang dibenarkan beroperasi ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) fasa satu dan dua tidak perlu membuat permohonan baru untuk kelulusan beroperasi.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, industri terbabit tidak perlu membuat permohonan baru kerana kelulusan diberikan sebelum ini sudah diwartakan pada 18 Mac, 31 Mac dan 2 April lalu.

Menurutnya, ini bermakna semua industri yang sudah mendapat kelulusan pada PKP fasa satu dan dua boleh terus beroperasi kerana semuanya sudah diwartakan.

“Sektor ekonomi tambahan pula hanya diwartakan semalam dan kini proses sedang berjalan selepas menerima permohonan.

“Mana-mana syarikat yang dibenarkan beroperasi juga akan mendapat surat kelulusan daripada Miti di mana proses untuk menilai dan memproses permohonan itu mendapat kerjasama baik dari kementerian dan agensi berkaitan,” katanya pada sidang media di Putrajaya, di sini, hari ini.

Azmin berkata, apabila kelulusan diberi syarikat akan mendapat surat yang diberikan kepada pekerja yang akan hadir ke tempat kerja.

“Ia juga akan dapat membantu pihak polis menjalankan tugas mereka kerana semua senarai syarikat itu ada dalam aplikasi yang boleh disemak oleh polis bagi memastikan hanya syarikat dibenarkan beroperasi sahaja pekerjanya boleh keluar dari kediaman.

“Pada ketika ini hanya dibenarkan beroperasi 50 peratus sahaja namun sektor tambahan yang ada akan diproses secara sama bagi membantu polis menjalankan tugas mereka,” katanya

Disiarkan pada: April 16, 2020 @ 5:47pm
d