mutakhir

Jangan politikkan penahanan 17 warga Malaysia di India

Oleh Redzuan Muharam

TIMBALAN Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar meminta supaya penahanan 17 jemaah tabligh warga Malaysia di India tidak dipolitikkan atau dikaitkan dengan isu agama.

Menurutnya, Wisma Putra sedia maklum mengenai penahanan berkenaan dan dalam proses mengenalpasti permasalahan serta mendapatkan cerita sebenar di sebalik apa yang berlaku daripada kerajaan India.

“Kita ambil berat dan pastikan mereka dilayan dalam keadaan baik. Saya harap jangan ada mana-mana pihak mempolitikkan isu apatah lagi mengaitkan dengan isu keagamaan. Ia bukan saja menimbulkan salah faham tetapi boleh merumitkan rundingan yang sedang diusahakan,” katanya. diusahakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi FB Live di Wisma Putra, hari ini.

Menurut Kamarudin, dalam konteks penyalahgunaan, 17 rakyat Malaysia terbabit ditahan mengikut tiga akta.

“Pertama adalah National Disaster Management Act 2005, Foreigners Act 1946 dan Indian Penal Code (IPC).

“Justeru, kita nasihatkan rakyat Malaysia di luar negara sentiasa patuh dengan peraturan di negara mereka diami,” katanya.

Dalam pada itu, Kamarudin berkata, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju memberi bantuan peralatan dan perubatan kepada rakyat Bosnia Herzegovina yang terkesan menerusi Misi Kemanusiaan Bosnia.

“Bantuan itu sudah dihantar menerusi pesawat Air Asia dan tiba jam 10.30 malam waktu tempatan, semalam.

“Menerusi perbualan dengan Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dengan rakan sejawat, kerajaan Bosnia menzahirkan penghargaan.

“Mereka bersetuju memberi bantuan ubat anti malaria bagi menangani pandemik Covid-19,” katanya.

Selain Bosnia Herzegovina, Kamarudin berkata, Malaysia juga akan menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada Palestin sebagai tanda prihatin dengan cabaran dihadapi rakyat di negara itu.

“Perdana Menteri menerima panggilan daripada Presiden Palestin, Mahmud Abbas pada 6 April lalu dan mereka saling bertukar pandangan serta berkongsi maklumat.

“Palestin minta bantuan Malaysia dan atas dasar hubungan erat, kementerian dengan kerjasama agensi berkaitan sedang menyelaraskan bentuk bantuan boleh dihulurkan kepada saudara di Palestin,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 16, 2020 @ 5:50pm
    d