mutakhir

Terowong nyah cemar tak basmi virus Covid-19

Oleh Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim

BERISIKO meninggal dunia. Itu risiko terburuk boleh berlaku kepada individu menggunakan terowong nyah cemar yang didakwa pihak tertentu boleh membasmi virus Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah meluahkan kebimbangannya terhadap bahan kimia digunakan untuk terowong berkenaan.

Menurutnya, individu melalui terowong itu berisiko terdedah kepada bahan kimia yang masuk ke dalam mata selain menyebabkan radang kulit.

“Individu yang mempunyai penyakit lelah dan sebagainya pula boleh sebabkan kematian,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya, hari ini.

Berdasarkan rujukan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengenai penggunaan terowong nyah cemar, katanya, tiada bukti mengesahkan ia mampu membasmi virus.

“Macam mana nak basmi virus itu kerana ia dalam tubuh badan manusia seperti dalam rongga hidung, justeru terowong sanitasi tidak berkesan untuk tujuan berkenaan,” katanya.

Justeru, beliau mengulangi pendirian bahawa setiap penggunaan peralatan berkaitan termasuk terowong yang merembeskan cecair untuk membunuh virus perlu berpandukan bukti sains dan fakta sahih.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 16, 2020 @ 8:21pm
    d