mutakhir

Covid-19: Sampel tak perlu hantar ke makmal

Oleh Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memutuskan akan menggunakan kit ujian antigen dari Korea Selatan selepas didapati ia berkesan mengesan jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan ujian yang dilakukan, sensitiviti kit berkenaan adalah pada kadar seratus peratus.

Lebih penting, katanya, sampel tidak perlu dihantar ke makmal kerana ujian boleh dilakukan di fasiliti kesihatan sama ada klinik atau hospital.

“Kita harap jika kit ini boleh diperoleh minggu depan, (jadi) kita akan melakukan ujian saringan secara besar-besaran. Sekarang pun kita dah buat saringan tetapi selepas ini kita boleh lakukan untuk kumpulan sasar.

“Jadi kita buat saringan ke atas kumpulan sasar atau lokasi atau kumpulan berisiko tinggi,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Katanya, ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) hanya akan digunakan sebagai pelengkap sekiranya timbul isu tertentu.

Pada 28 Mac lalu, Noor Hisham dilaporkan berkata, KKM sudah menerima kit ujian pengesanan antigen dari Korea Selatan bagi mengesahkan jangkitan Covid-19 setiap penghidap.

Beliau dilaporkan berkata, jumlah kit ujian pengesanan antigen itu akan ditambah 200,000 unit lagi, jika terbukti berkesan dengan setiap unit kit itu bernilai antara AS$5 hingga AS$6 (antara RM21.64 hingga RM25.97).

Antigen ialah ubat atau bahan (protein) yang disuntikkan ke dalam tubuh bagi merangsangkan pengeluaran antibodi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 16, 2020 @ 9:16pm
    d