mutakhir

31 stesen kuarantin beroperasi

Oleh Nurul Amanina Suhaini

JABATAN Kesihatan Negeri Johor melaporkan penambahan sebanyak 13 kes baharu Covid-19 yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 614 kes sehingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyanathan berkata, sehingga semalam, jumlah kes kematian yang direkodkan di negeri ini adalah sebanyak 15 orang, selain tiada kes kematian baru direkodkan.

“Semalam, jumlah kes kumulatif sembuh di Johor adalah 356 kes iaitu pertambahan tujuh kes berbanding hari sebelumnya.

“Diharapkan statistik kes sembuh dan discaj bagi negeri ini akan terus meningkat untuk hari berikutnya.

“Pada hari semalam juga, negara jiran kita Singapura mencatatkan pertambahan 728 kes positif baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes kumulatif positif di Singapura adalah 4,427 kes.

“Pertambahan ini adalah jumlah kenaikan tertinggi yang dicatatkan sehingga kini,” katanya pada kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, sebanyak 31 daripada 97 stesen kuarantin yang diwartakan di negeri ini beroperasi sehingga semalam.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memastikan prosedur kemasukan rakyat Malaysia yang pulang dari Singapura akan dipantau menerusi proses saringan yang ketat oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Imigresen (JIM) Johor.

“Dalam pada itu, kerajaan negeri menerima kira-kira 3.5 juta keping topeng muka daripada kerajaan pusat untuk diagihkan kepada seluruh ketua isi rumah di negeri ini berdasarkan rekod data penduduk yang dibekalkan oleh Jabatan Perangkaan.

“Untuk permulaan, keutamaan agihan adalah di kawasan yang berisiko tinggi di setiap daerah, selain setiap isi rumah akan menerima empat keping topeng muka untuk kegunaan ahli keluarga yang mempunyai simptom seperti batuk, selsema dan demam.

“Pengagihan topeng muka ini akan dilakukan secepat mungkin oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), ketua kampung dan ketua masyarakat di daerah masing-masing secara berperingkat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 17, 2020 @ 11:52am
    d