mutakhir

Denda RM18,000 ceroboh, melombong emas

Oleh Mohd Rafi Mamat

LELAKI Indonesia didenda RM18,000 di Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini atas dua tuduhan menceroboh Hutan Simpan Bukit Ibam, Rompin dan melakukan aktiviti perlombongan emas tanpa kebenaran.

Hakim Siti Aminah Ghazali memutuskan demikian selepas tertuduh, Sun Bahri, 37, mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan berkenaan.

Beliau turut memerintahkan hukuman penjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menjalankan perlombongan emas tanpa kebenaran dan berada di Komparment 219 Hutan Simpan Bukit Ibam tanpa dokumen pada 7 April lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Subseksyen 81(1)(d) dan Subseksyen 47(1) Akta Perhutanan Negara 1984 yang membawa kepada hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Negeri Pahang Afidatul Kamarulanuar.

Disiarkan pada: April 17, 2020 @ 1:26pm
d