mutakhir

Rakyat Malaysia memang prihatin

Oleh Roselan Ab Malek

“TERIMA kasih semua yang bantu saya ‘share post’ (kongsi hantaran) itu. Saya tahu rakyat Malaysia sangat prihatin,” kata Lizawati Abiza, 33, yang memuat naik hantaran di Facebook (FB) miliknya mengenai pelancong Russia terkandas di Temerloh.

Berikutan status itu yang dikongsi ramai orang di media sosial, nasib pelancong lelaki dikenali Maxim Lapin, 42, terbela dan dia kini berada di Kedutaan Russia di Kuala Lumpur selepas dihantar pihak berkuasa, kelmarin.

Lizawati yang menggunakan FB Eza Nurbaiti berkata, dia hanya sempat memberi sedikit wang kepada Lapin dan mengambil gambarnya dengan niat untuk membantu.

“Saya ketika itu membeli makanan untuk anak dan tidak sempat beri pelancong itu apa-apa kecuali sedikit wang selain mengambil gambarnya untuk dikongsi di FB.

“Saya sempat membaca nota yang ditulis pelancong itu. Walaupun ada netizen yang memberi komen negatif, tetapi saya tetap bersangka baik dan niat saya mahu orang membantu pelancong itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ibu tiga anak yang tinggal di Taman Temerloh Jaya itu berkata, dia sangat bersyukur ramai pihak membaca perkongsian terbabit hingga membolehkan pelancong berkenaan dibantu.

Dia juga terkejut apabila pelancong itu menghubunginya menerusi FB Messenger untuk mengucapkan terima kasih.

“Tak sangka dia cari saya di FB. Saya tak buat apa pun. Orang lain yang bantu dia. Saya kebetulan saja ada dekat situ. Terima kasih semua yang bantu saya terutama pihak polis,” katanya.

Disiarkan pada: April 17, 2020 @ 3:21pm
d