mutakhir

Jawatankuasa khas tangani isu sempadan [METROTV]

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

KEMENTERIAN Dalam Negeri bakal menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menangani masalah penyeludupan di sempadan.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, jawatankuasa khas itu akan bekerjasama dengan beberapa kementerian lain termasuk Kementerian Alam Sekitar dan Air.

Katanya, kewujudan laluan tikus yang terlalu banyak di kawasan sempadan memerlukan strategi tertentu bagi menangani masalah berkenaan.

“Banyak laluan tikus dikenal pasti di sempadan dan sepanjang lawatan di Sungai Golok dari Tumpat ke Rantau Panjang sahaja mempunyai 88 laluan tikus.

“Jawatankuasa khas berkenaan juga akan meneliti cadangan untuk pembinaan tembok di sepanjang sempadan yang sudah dikemukakan pelbagai pihak sejak beberapa tahun lalu.

“Kerjasama dengan kementerian lain adalah penting memandangkan tanah di tepi Sungai Golok adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Alam Sekitar dan Air,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS ) Rantau Panjang dan pejabat Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) di Rantau Panjang, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan.

Mengulas lanjut katanya, jawatankuasa yang bakal ditubuhkan itu akan melakukan sesuatu yang boleh menangani masalah ketirisan sempadan dan pihaknya akan mengumumkannya nanti.

Disiarkan pada: April 17, 2020 @ 3:39pm
d