mutakhir

NGO diminta daftar JKM sebelum serah bantuan [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

PERTUBUHAN bukan kerajaan (NGO) diminta mendaftar kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ketika mereka menyerahkan bantuan makanan termasuk kepada gelandangan bagi memudahkan melakukan pengesanan jika berlaku jangkitan Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tujuan itu bukan ingin menyusahkan mereka tetapi untuk membantu demi keselamatan kerana apabila mereka menghantar makanan akan bertemu dengan pihak menerima yang tidak tahu sesiapa yang dari kesihatan negatif atau positif Covid-19.

Menurutnya, jika berlaku apa-apa jika mereka berdaftar boleh mengesan tetapi jika tidak ada maklumat itu tidak dapat menyelamatkan pihak NGO yang kemungkinan ada kontak dengan individu positif Covid-19.

“Kita bukan ingin menyusahkan tetapi hendak permudahkan mereka jika berlaku perkara tidak diingini.

“Siapa mereka hendak jumpa apabila berdaftar mudah buat kita untuk lakukan pengesanan,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, soal pemakaian peralatan perlindungan diri (PPE) dalam kalangan pekerja pembersihan mengutip sampah di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pula sebagai contoh di Simpang Renggam, penduduk tidak dibenarkan keluar rumah jadi pekerja tiada kontak di mana tidak perlu memakai pakai PPE.

“Begitu juga di Masjid India, mereka (pekerja) hanya mengutip sampah di lobi dan tidak naik ke atas sudah tentu tidak ada pertemuan hubungan langsung di mana cukup sekadar memakai sarung tangan dan topeng hidung serta mulut.

“Kecualilah jika mereka masuk ke dalam bilik barulah kena memakai PPE kerana ada hubungan langsung dengan mereka yang disyaki kemungkinan akan wujud keberangkalian positif Covid-19,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan ada laporan polis dibuat kerana ditahan tidak memakai topeng hidung dan mulut, beliau berkata, Ketua Pengarah Kesihatan hampir setiap masa dalam sidang medianya memberitahu hanya mereka yang bergejala sahaja perlu memakai topeng itu manakala yang tidak bergejala mempunyai pilihan.

“Polis tidak boleh kuatkuasa untuk menahan mereka yang tidak memakai topeng itu dan ia tidak menjadi kesalahan jika tidak dipakai,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 17, 2020 @ 4:37pm
    d