mutakhir

Sukarela sertai barisan hadapan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

“SETIAP hari saya dan rakan (petugas kesihatan) berdepan risiko kerana kita tidak nampak virus itu.

“Apa yang paling saya takuti sekiranya ada antara kami dijangkiti dan ia melumpuhkan pasukan,” kata Pegawai Kesihatan Persekitaran, Mohd Rizal Rusuli, 47, antara petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus mencegah penularan pandemik Covid-19.

Pegawai Unit Inspektorat dan Perundangan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Putrajaya itu secara sukarela menyertai pasukan barisan hadapan dan ditugaskan di Pejabat Kesihatan Daerah Gombak.

Berkongsi pengalamannya, Mohd Rizal berkata, beliau pernah terbabit dalam pelbagai kes wabak melanda negara sebelum ini antaranya Influenza A (H1N1), Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan virus nipah.

Beliau yang sudah berkhidmat selama 23 tahun berkata, menguruskan kes Covid-19 sedikit berbeza daripada wabak lain dan ia memberi pengalaman baharu buat dirinya.

“Pasukan saya antara petugas paling awal yang akan berdepan dengan individu dijangkiti Covid-19. Kami ditugaskan melakukan siasatan awal sehinggalah kepada peringkat pengurusan jenazah jika berlaku kematian membabitkan pesakit Covid-19.

“Kami akan mengumpul data pesakit dan mengenal pasti Orang Yang Disyaki (PUI) iaitu kontak rapat, dengan siapa pesakit berjumpa dan ke mana pesakit pergi sepanjang tempoh 14 hari,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Ditanya mengenai tugasnya yang memerlukan beliau memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE), Mohd Rizal berkata, dia pernah memakai PPE sebelum ini tetapi tidak pernah sehingga tempoh lama.

“Sangat panas dan pakaian di dalam jadi lencun dengan peluh setiap kali menanggalkannya. Malah, saya juga perlu memakai PPE semasa menguruskan jenazah,” katanya.

Bapa kepada lima anak itu berkata, setiap kali pulang ke rumah beliau tidak dapat bersama keluarga dan memeluk anak-anaknya, tetapi perlu membersihkan diri serta nyahkuman terlebih dahulu.

“Adakalanya saya keluar awal pagi dan pulang lewat malam menyebabkan masa bersama keluarga terhad. Alhamdulillah keluarga memahami kerana ini bukan kali pertama saya bertugas ketika wabak,” katanya.

Mohd Rizal amat mengharapkan pandemik Covid-19 itu segera berakhir namun kerjasama masyarakat dengan duduk di rumah amat penting untuk memutuskan rantaian jangkitan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 17, 2020 @ 5:16pm
    d