mutakhir

Pastikan penghawa dingin bersih dan sesuai

Oleh Yusmizal Dolah Aling

ORANG ramai dinasihatkan memastikan penghawa dingin sama ada di rumah atau di pejabat menggunakan reka bentuk sesuai serta diselenggara bagi mencapai pengudaraan optimum.

Dengan cara itu, ia mampu mengawal pencemaran udara yang menyebabkan jangkitan penyakit termasuk Covid-19.

Pengamal Kejuruteraan, Ir Arul Hisham Abdul Rahim berkata, selama ini kebanyakan dari kita hanya mementingkan udara yang sejuk tanpa memikirkan sama ada ia bersih atau sebaliknya.

Katanya, pengalamannya di dalam bidang itu mendapati, ramai yang mengambil mudah tentang keperluan reka bentuk dan penyelenggaraan sistem penghawa dingin sama ada di rumah atau pejabat.

“Sistem penghawa dingin bukan sahaja membekalkan udara dingin kepada bangunan tetapi juga berfungsi sebagai penyambung hayat bagi kita dengan memberi bekalan oksigen dan

mengawal pencemaran udara yang menyebabkan jangkitan penyakit.

“Bukan sejuk semata-mata, pengudaraan ditakrifkan sebagai proses membekal atau menyah keluar udara dari sesuatu ruang dengan tujuan mengawal tahap pencemaran, kelembapan dan suhu ruang itu.

“Udara dingin ini juga menyalurkan oksigen dari udara luar selain menapis habuk, kotoran, bau dan patogen dari disedut semasa kita bernafas,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, bangunan perlu dibina kedap udara supaya tidak berlaku penyusupan udara dan habuk tidak terkawal dari luar untuk kawalan kelembapan dan kebersihan yang sempurna.

Untuk itu katanya, aliran udara di dalam bangunan mestilah difahami dengan mendalam menggunakan simulasi computational fluids dynamics (CFD) untuk memastikan ia berfungsi sebagaimana direka bentuk.

“Sistem hawa dingin mesti direka bentuk berpandukan Malaysian Standard MS 1525 iaitu suhu antara 23 hingga 26 darjah Celcius dan kelembapan relatif antara 50 peratus hingga 70 peratus.

“Saya berpengalaman menjalankan audit di beberapa bangunan dan mendapati sistem penghawa dingin tidak mencapai prestasi diharapkan bahkan ada yang mempunyai kelembapan relatif setinggi 85 peratus.

“Akibatnya, terdapat tompokan kehitam-hitaman di kawasan corong udara sebagai indikasi pertumbuhan fungus di siling.

“Sekiranya pendingin udara mengeluarkan bau hapak, ini adalah indikator prestasi penghawa dingin tidak berfungsi dengan optimum. Bau ini terhasil dari tindak balas kimia yang terjadi apabila terdapat kulat pada permukaan lembab,” katanya.

Justeru beliau menasihatkan orang ramai lebih peka dengan perkara itu terutama ketika aspek penjagaan kesihatan lain diambil kira ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 17, 2020 @ 5:45pm
    d