mutakhir

Lelaki Myanmar dituduh bunuh rakan senegara

Oleh Ravale Savarinathan

LELAKI warga Myanmar yang juga nelayan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan, hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegara, minggu lalu.

Tertuduh Nai San Thien, 35, didakwa membunuh Myint Soe, 47, di atas sebuah bot di pelantar pendaratan ikan Bagan Parit 4, Sungai Sumun, Bagan Datuk antara 11 pagi hingga 11.45 pagi pada 6 April lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Majistret Syahdatul Kamilah Zakaria menetapkan 30 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula untuk mendapatkan jurubahasa Myanmar berikutan tertuduh tidak memahami bahasa Malaysia.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Cheah Shuh Yuan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan seorang lelaki yang dipercayai membunuh seorang lelaki lain selepas berlaku pergaduhan di atas sebuah bot di lokasi terbabit.

Suspek menetak mangsa dengan parang sebelum menolaknya ke dalam sungai.

Pemeriksaan di lokasi kejadian menemui tompokan darah, cebisan daging dan tulang dipercayai milik mangsa.

Disiarkan pada: April 17, 2020 @ 5:59pm
d