mutakhir

KKM pantau pelarian, pemohon suaka dalam kawalan [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengkategorikan kes Covid-19 membabitkan warganegara asing kepada kumpulan pelancong, pekerja, golongan pelarian dan pemohon suaka.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga hari ini dalam kalangan kategori itu terdapat 601 kes positif Covid-19 iaitu 356 kes sedang dirawat, 242 kes sudah pulih dan tiga kes kematian.

Mengulas lanjut, katanya, warganegara asing tertinggi mencatatkan kes positif di negara ini ialah Indonesia 108 kes diikuti Filipina (104), Bangladesh (63), India (60) dan Pakistan sebanyak 51 kes.

“Seperti yang maklum melalui media massa, terdapat peningkatan kes Covid-19 di Singapura yang dikaitkan dengan penularan virus itu di asrama pekerja.

“Ini dilaporkan menyumbang kepada lebih daripada 50 peratus keseluruhan kes positif Covid-19 di negara itu.

“Mengambil iktibar daripada situasi ini dan memandangkan Malaysia juga mempunyai ramai pekerja asing, langkah-langkah perlu diambil bagi mencegah penularan Covid-19 khususnya di kalangan warga asing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian Covid-19 di KKM Putrajaya hari ini.

Menurutnya, justeru bagi industri yang menggunakan banyak tenaga kerja, termasuk daripada kalangan warga kerja asing, majikan adalah bertanggungjawab memastikan langkah-langkah ditetapkan KKM dilaksanakan di tempat kerja.

“Antaranya majikan perlu adakan pemeriksaan suhu badan dan gejala sebelum pekerja memasuki premis. Penyediaan tempat mencuci tangan atau ‘hand sanitizer’.

“Kerap melaksanakan proses pembersihan dan pembasmian kuman terutamanya ruang guna sama.

“Amalan jarak sosial selamat iaitu sekurang-kurangnya satu meter termasuk di ruang kerja dan ruang makan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, majikan juga perlu mengambil langkah elakkan pekerja tidak berkumpul di ruang sempit, terlalu ramai pekerja bersama pada satu masa selain amalkan jarak satu meter semasa bercakap.

Sekiranya tempat tinggal disediakan, katanya, langkah-langkah pencegahan terutamanya amalan jarak sosial selamat dan kebersihan tangan dan diri perlu ditekankan.

“Pekerja-pekerja yang mempunyai kediaman sendiri juga perlu mematuhi dan amalkan langkah-langkah pencegahan itu di samping mengambil inisiatif sendiri untuk kerap menjalankan sanitasi dan pembersihan rumah atau tempat kediaman masing-masing.

“KKM juga bekerjasama dengan Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) bagi memastikan golongan pelarian dan pemohon suaka turut diliputi dalam aktiviti pencegahan dan kawalan dilaksanakan oleh pihak kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan kedutaan negara berkenaan di Malaysia dan juga badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan supaya dapat membantu KKM menyebarkan serta menyampaikan maklumat kepada warga asing di Malaysia dalam bahasa ibunda masing-masing.

Menurutnya, National IHR Focal Points (NFPs) daripada negara berkaitan juga akan dimaklumkan mengenai kes positif Covid-19 dalam kalangan warga asing di Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 17, 2020 @ 7:21pm
    d