mutakhir

Tak sempat lihat arwah ayah

Oleh Redzuan Muharam

“SUSAH nak terima, tetapi saya cuba pujuk diri dan kuat dengan membayangkan ayah kini berada di tempat yang lebih baik,” kata bekas pesakit Covid-19, Nur Syahira Idris.

Nur Syahira, 26, bukan saja diuji dengan penyakit Covid-19, tetapi turut kehilangan ayah tercinta, Idris Atan yang meninggal dunia pada 21 Mac lalu akibat jangkitan wabak berkenaan.

Lebih menyedihkan, anak kedua daripada tiga beradik itu tidak dapat menatap jenazah ayahnya buat kali terakhir kerana dikuarantin selepas dimasukkan di wad Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 20 Mac.

Nur Syahira dikuarantin selama lapan hari sebelum dibenarkan pulang ke rumahnya di Taman Koperasi Polis Fasa Dua, Gombak selepas keputusan ujian saringan menunjukkan dia bebas wabak itu.

Bercerita lanjut, Nur Syahira mengakui rapat dan manja dengan ayahnya sejak kecil lagi jadi pemergian itu meninggalkan kesan yang cukup mendalam buatnya.

Malah, dia tidak menduga ayahnya dijangkiti Covid-19 kerana tiada sebarang simptom kecuali demam sehari sebelum dimasukkan ke hospital.

“Kali terakhir melihat ayah adalah ketika ambulans datang ke rumah untuk membawanya ke hospital pada 18 Mac lalu.

“Dua hari kemudian, saya dan kakak (Nur Athirah, 28) pula dimasukkan ke hospital selepas positif Covid-19,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Nur Syahira, selain dia dan kakak, ibunya, Roslisa Razali juga diarahkan menjalani kuarantin sementara menunggu keputusan ujian saringan.

Jadi, hanya adiknya, Nur Luqman Hakim, 22, berpeluang menatap wajah ayahnya kerana pihak hospital memanggil waris yang ada untuk membuat pengecaman mayat.

“Alhamdulillah, jenazah arwah ayah dapat disempurnakan walaupun hanya adik saja dapat melihatnya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah KL-Karak,” katanya.

Berkongsi pengalaman sepanjang berada di hospital, Nur Syahira berkata, tiada yang boleh dilakukannya ketika di dalam wad kecuali mengaji, solat dan melayari Internet di telefon bimbit.

Berita berkaitan

Arwah seorang 'happy go lucky' - Muaz

Covid-19: Bapa saudara Muaz meninggal dunia

Gadis hidap Covid-19 sayu kehilangan ayah

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 18, 2020 @ 8:30am
    d