mutakhir

Lahir lebih ramai murid seperti Lara Khadijah

Oleh Malik Muhamad

“KITA mahu lahirkan lebih ramai lagi murid seperti Lara Khadijah McAfee,” kata Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Salim Ab Ghani.

Beliau berkata demikian selepas kagum dengan keberanian murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan Seri Budiman, Kuala Terengganu itu yang mengutus surat kepada Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang bertarikh 19 Mac lalu.

Surat ditulis sendiri murid yang menetap di Seberang Takir, Kuala Nerus itu menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas pengorbanan Dr Noor Hisham dan pasukan barisan hadapan negara dalam mengekang penularan wabak Covid-19.

Apa yang menarik perhatian masyarakat yang kini berdepan dengan krisis Covid-19, surat bertulisan tangan yang diutus anak bongsu daripada lima beradik berserta gelang tangan mendapat reaksi positif daripada Dr Noor Hisham menerusi surat balas bertarikh 16 April 2020 sebelum tular di laman sosial.

Salim berkata, beliau menyifatkan Lara sebagai seorang murid yang pintar dan berani meluahkan idea secara positif serta harus menjadi sumber inspirasi kepada murid lain.

“Keberanian dan keprihatinan adik Lara ini harus menjadi contoh kepada murid lain walaupun ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan melakukan aktiviti yang bermanfaat.

“Kita berhasrat untuk melahirkan lebih ramai murid seperti adik Lara. Dia (Lara) bukan sahaja berani memberikan pendapat yang bernas kepada pemimpin dalam kementerian kesihatan itu, malah dia juga turut menghargai pengorbanan barisan hadapan negara yang diketuai Dr Noor Hisham dengan usianya baharu memasuki sembilan tahun.

“Selain bidang akademik, jika murid-murid lebih fokus terutama selepas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan pada tahun ini, mereka juga boleh mengasah bakat dan minda dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah demi ‘survival’ mereka pada masa akan datang.

“Kepada pentadbir sekolah termasuk guru besar dan pengetua serta guru, mereka juga berperanan untuk membangunkan potensi murid-murid dengan menjadikan Lara sebagai salah satu ikon.

“Insya-Allah selepas tempoh PKP ini berakhir, JPNT akan memberikan penghargaan khusus kepada adik Lara sebagai pengiktirafan atas keberanian dan penghargaannya kepada Dr Noor Hisham dan barisan hadapan negara dalam memerangi wabak pandemik Covid-19 itu,” ujar Salim ketika dihubungi.

Keberanian adik Lara ini juga mendapat perhatian daripada Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Terengganu (PPDKT), Jelani Sulong yang juga akan menganugerahkannya sebagai Murid Unggul 2020 dalam bidang kemanusiaan.

“Sebelum ini kita telah anugerahkan kepada adik Muhammad Syukur Khamis, 15 yang digelar ‘Kampung Boy’ dan ‘Mowgli Malaysia’ dalam bidang yang sama, jadi tahun ini kita anugerahkan kepada adik Lara pula sebagai pengiktirafan kepadanya,” katanya ketika dihubungi.

Berita berkaitan:

  • Lara teruja
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 18, 2020 @ 11:55am
    d