mutakhir

100 orang sehari lepasi sempadan

Oleh Syaherah Mustafa

HANYA 100 warga Thailand dibenarkan melalui pintu sempadan di Kelantan, sehari untuk pulang ke negara itu.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan Azhar Abdul Hamid berkata, kesemua mereka yang mahu kembali ke negara asal perlu memiliki dokumen lengkap dan surat kebenaran daripada Kedutaan Thailand di Malaysia.

Katanya, prosedur itu ditetapkan hasil persetujuan bersama dua negara, selain mereka juga perlu menjalani kuarantin 14 hari sebaik melepasi sempadan yang diuruskan tentera Thailand.

“Di Kelantan, hanya satu pintu sempadan yang dibuka iaitu di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.

“Kita turut menyediakan ruang kepada pihak berkuasa Thailand di ICQS untuk membuka kaunter saringan, selain menempatkan agensi lain seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), PDRM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, media melaporkan empat daripada sembilan pintu sempadan Thailand-Malaysia dibuka semula dan dijangka lebih 8,000 warga Thailand yang terkandas di Malaysia akan pulang secara berperingkat ke kampung halaman masing-masing.

Antara yang terkandas sejak 23 Mac lalu adalah, pekerja kedai makan, nelayan, penoreh getah, pekerja ladang sawit, pelajar dan mereka yang melawat saudara-mara di Malaysia.

Azhar menasihati warga Thailand yang mahu pulang supaya merujuk kedutaan terlebih dahulu dan memenuhi peraturan yang ditetapkan, bagi mengelak masalah.

Beliau juga meminta mereka supaya mengamalkan langkah pencegahan Covid-19 serta mengenakan topeng muka.

“Kita tak pasti berapa lama tempoh pergerakan pulang warga Thailand ini kerana bergantung kepada pihak berkuasa negara itu. Namun kita sentiasa memberi kerjasama sewajarnya,” katanya.

Disiarkan pada: April 18, 2020 @ 2:21pm
d