mutakhir

Pusat kuarantin di Melaka mula terima tetamu

Oleh Amir Mamat

EMPAT hotel bertaraf tiga hingga lima bintang yang dijadikan sebagai pusat kuarantin Covid-19 di Melaka mula menerima tetamu dari luar negara sejak kelmarin.

EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Rahmad Mariman berkata, seramai 461 individu yang baharu pulang dari luar negara ditempatkan di hotel berkenaan yang masing-masing terletak di daerah Melaka Tengah selepas pusat kuarantin yang disediakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Putrajaya dan Kuala Lumpur tidak mencukupi.

Beliau berkata, selain itu, seramai 76 ditempatkan di Pusat Kuarantin Covid-19 Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CReATE) Jabatan Kerja Raya di Alor Gajah, manakala 18 lagi di Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Ayer Molek.

“Alhamdulillah, dengan penyediaan hotel yang sudah diwartakan sebagai pusat kuarantin itu pasti akan memberi keselesaan kepada penghuninya, sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan serta KKM dalam menyediakan kemudahan kepada golongan berkenaan,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan bersama Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) di Pasar Borong Batu Berendam, Melaka awal pagi, hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua MPHTJ, Shadan Othman.

Pemantauan kira-kira sejam bermula pada 2 pagi itu dilakukan susulan terdapat dakwaan pihak pengurusan pasar tidak mementingkan langkah pencegahan seperti jarak sosial di antara satu sama lain serta tidak memeriksa suhu badan pengunjung serta peniaga.

Sementara itu, Rahmad berkata, Jabatan Kesihatan daerah sudah membuat saringan terhadap 170 individu yang dikategorikan dalam kluster tabligh di Jasin, semalam.

Katanya, saringan terbabit dilaksanakan adalah bagi memastikan masyarakat di daerah itu, khususnya kluster tabligh bebas dari pandemik berkenaan.

“Sepanjang tempoh saringan itu, kluster tabligh sangat memberikan kerjasama dengan semua 170 individu tampil secara sukarela selepas diminta berbuat demikian oleh Jabatan Kesihatan negeri,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sehingga semalam, Jasin masih kekal dengan 37 individu positif Covid-19 selepas saringan dilakukan terhadap 367 individu termasuk guru dan pelajar sebuah sekolah tahfiz serta penduduk di Kampung Ayer Merbau dan Kampung Sebatu.

Katanya, daerah Alor Gajah hanya mencatatkan satu kes baharu selepas lapan hari tiada bebas, manakala daerah Melaka Tengah pula sudah dua hari tidak mencatatkan kes baharu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 18, 2020 @ 2:36pm
    d