mutakhir

RM110,000 kubis UK dirampas

Oleh Redzuan Muharam

KUBIS bulat dari United Kingdom (UK) dengan nilai dagangan sebanyak RM110,500 dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) kerana mempunyai makhluk perosak.

Pengarah MAQIS Selangor Dr Tarmisal Alimin berkata, kubis seberat 110,880 kilogram (kg) itu dirampas pegawai penguatkuasa ketika cuba dibawa masuk ke negara ini melalui Pelabuhan Klang Barat di Port Klang.

“Dagangan kubis itu dirampas hasil pemeriksaan dilakukan pegawai penguatkuasa MAQIS kerana mendapatinya mempunyai makhluk perosak.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728]

iaitu mengimport tumbuhan yang dipercayai mempunyai perosak,”katanya dalam satu kenyataan media,hari ini.

Menurut Tarmisal, jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000.00 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, MAQIS sentiasa teliti dan cekap dalam menjalankan pemeriksaan bagi keluaran pertanian yang diimport ke dalam negara.

“Langkah itu bertujuan memastikan setiap tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih atau mikroorganisma yang dibawa masuk ke dalam negeri adalah bebas daripada perosak, penyakit, atau bahan cemar dan mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Disiarkan pada: April 18, 2020 @ 5:04pm
d