mutakhir

Kluster baharu di Sabah babitkan 3 hospital kerajaan [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan kluster petugas kesihatan di Sabah membabitkan tiga hospital kerajaan iaitu Hospital Queen Elizabeth 2, Hospital Wanita dan Kanak-kanak, Likas serta Hospital Keningau.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 31 kes dikenal pasti positif koronavirus baharu (Covid-19) dalam kluster itu, termasuk dua kes baharu dilaporkan hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, semua pesakit dijangkiti dalam kluster itu masih dalam rawatan setakat ini.

Katanya, kluster ini terdiri daripada 23 petugas kesihatan dan lapan ahli keluarga atau orang awam.

“Kluster ini mula dikesan apabila keputusan ujian Covid-19 adalah positif pada 2 April babitkan seorang kakitangan hospital yang melapor diri di Hospital Queen Elizabeth 2.

“Beliau didapati tidak sihat dan mempunyai gejala batuk dan selesema pada hari berkenaan. Siasatan dan saringan bagi kontak rapat kakitangan itu dijalankan.

“Jangkitan Covid-19 didapati positif bagi beberapa rakan setugas serta ahli keluarga. Semua 31 kes masih berada di dalam wad dan adalah berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian hari ini dalam sidang media harian Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Putrajaya.

Mengulas lanjut, katanya, bagi kluster petugas kesihatan Sabah itu didapati tiada kes yang mendapat jangkitan ini semasa mengendalikan pesakit Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 18, 2020 @ 5:36pm
    d