mutakhir

17 rumah rosak dilanda ribut

Oleh Safuri Kamarudin

ANGIN kencang petang semalam menyebabkan 17 rumah di enam kampung di Mukim Pulai, Baling, mengalami kerosakan.

Ribut jam 6 petang itu merosakkan kediaman di Kampung Sungai Limau, Banggol Setang, Tebing Tinggi, Padang, Charok Kelian dan Asam Jawa.

Penghulu Mukim Pulai/Kupang, Badrul Hisham Che Li berkata, hujan lebat dan ribut selama 30 minit menyebabkan bumbung tercabut dan pokok menghempap rumah.

Beliau berkata, bagaimanapun tidak ada kecederaan yang dilaporkan.

“Kebanyakan rumah bumbung diterbangkan angin selain ada ditimpa pokok. Banyak barang dan perabot rosak terkena air,” katanya.

Mangsa, Mohd Ali Abd Latif,69, dari Kampung Tebing Tinggi berkata, ketika hujan lebat dan angin kuat dia berada di dapur.

“Saya terkejut tiba-tiba sebatang pokok menimpa bumbung dan mujur saya sempat beredar dengan merangkak keluar dari situ,” katanya.

Mohd Ali berkata, pokok mempelam berdekatan rumah itu tumbang kerana angin sangat kuat. “Ia berlaku di depan mata dan mujurlah tidak berlaku kejadian buruk meskipun rumah rosak teruk,” katanya yang hidup sebatang kara.

Disiarkan pada: April 19, 2020 @ 10:49am
d