mutakhir

205 rakyat Malaysia terkandas di luar negara sudah pulang

Oleh BERNAMA

PEJABAT Perwakilan Malaysia (Malawakil) di Lima, Peru menghantar pulang 26 rakyat Malaysia yang terkandas di Peru dan Bolivia, semalam.

Wisma Putra dalam hantaran di laman rasmi Facebook, berkata kesemua mereka dibawa pulang menggunakan pesawat Amaszonas yang disewa khas oleh Malawakil Lima melalui Sao Paulo, Brazil.

“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu menjayakan misi ini, terutama Malawakil Brasilia, kerajaan Peru, Bolivia dan Brazil,” katanya.

Menurut Wisma Putra, pesawat berkenaan yang bertolak dari La Paz, Bolivia kemudian turut singgah di Lima, Peru.

Katanya, ia juga membawa rakyat dari 11 negara lain iaitu 22 orang dari Jepun, Thailand (12), Brazil (12), China (3), Sweden (3), Australia (3), Korea Selatan (2), Finland (1), Chile (1), Itali (1) dan seorang penduduk tetap Jepun warganegara Peru.

Terdahulu, Wisma Putra turut memaklumkan 179 rakyat Malaysia yang terkandas iaitu 82 orang di Colombo, Sri Lanka dan 97 lagi di Chennai, India sudah dibawa pulang ke tanah air menaiki pesawat Malindo Air, semalam.

“Terima kasih Malawakil Colombo dan Chennai di atas kerjasama yang diberikan,” katanya.

Disiarkan pada: April 19, 2020 @ 1:41pm
d