mutakhir

Jom sertai soal selidik Bajet 2021 MBSP

Oleh Nur Izzati Mohamad

MAJLIS Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengalu-alukan penduduk di tiga daerah kawasan ini untuk menyertai kajian soal selidik dalam membolehkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu merangka Bajet 2021.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, pihaknya memerlukan pandangan daripada rakyat Seberang Perai dalam memastikan penyediaan bajet dibuat secara menyeluruh di semua peringkat akar umbi.

Selain itu, katanya, keputusan daripada soal selidik itu juga akan menggambarkan keseluruhan impian dan hala tuju yang akan memberi manfaat kepada penduduk Seberang Perai, dan menambah baik mutu perkhidmatan MBSP.

“MBSP amat mementingkan soal selidik ini kerana kita dalam perancangan untuk mencapai matlamat sebagai bandar raya rendah karbon dan bandar raya pintar menjelang 2022 dapat direalisasikan,” katanya ketika mengadakan sesi dialog awam secara langsung melalui Facebook MBSP, Bukit Mertajam, hari ini. Beliau berkata, Bajet 2021 MBSP dirangka berasaskan keutamaan bagi mengoptimumkan penggunaan sumber sedia ada yang memberi kesan kepada keperluan penduduk Seberang Perai.

“Disamping itu, proses merangka bajet ini juga akan menggunapakai metodologi ‘Bajet Responsif Gender atau Partisipatori’ dalam memastikan pengagihan dan penyediaan peruntukan kewangan akan memberi impak yang menepati kehendak kumpulan gender yang berbeza,” katanya.

Rozali berkata, penduduk Seberang Perai yang ingin menyertai soal selidik itu boleh melayari laman sesawang www.mbsp.gov.my mulai hari ini hingga 18 Mei depan dan mengikuti panduan yang diberikan.

“Soal selidik ini disediakan berdasarkan Pelan Strategik Tahun 2018 hingga 2022 dan responden perlu memberi pandangan keutamaan untuk bajet tahun 2021.

“MBSP amat menghargai masa dan kerjasama semua penduduk dalam memberi pandangan dan mengisi soal selidik ini yang ia boleh digunakan ke arah menyediakan bajet yang lebih baik serta inklusif,” katanya.

Sebarang pertanyaan berhubung soal selidik itu boleh menghubungi talian 04-5497460,04-5497848 atau 04-5497890.

Disiarkan pada: April 19, 2020 @ 2:25pm
d