mutakhir

Lara Khadijah kebanggaan SKSB

Oleh Malik Muhamad

“WARKAH Lara Khadijah McAfee kepada ‘Jeneral Covid-19’ adalah kebanggaan kami warga Sekolah Kebangsaan Seri Budiman (SKSB), Kuala Terengganu.

“Malah ‘utusan’ daripada murid Tahun Tiga itu kepada Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah juga diharap mampu menguatkan semangat beliau dan seluruh barisan hadapan ketika negara berdepan dengan wabak Covid-19 itu,” ujar Guru Besar SKSB, Salleh@Mokhtar Ismail.

Menurut Salleh, atas keberanian dan sikap keprihatinan Lara Khadijah, SKSB menganugerahkannya sebagai Ikon Murid Berkarisma 2020 iaitu Anugerah Khas Guru Besar, semalam.

“Lara adalah murid yang berpotensi dan berbakat besar dalam berpidato selain mempunyai sifat kepimpinan. Dia adalah antara calon NILAM (Nadi Ilmu Amalan Membaca) yang akan mewakili sekolah walaupun baharu berusia sembilan tahun.

“Kami warga guru juga sentiasa memberikan motivasi kepada semua murid apabila berjaya menonjolkan diri dalam pelbagai bidang, buat adik Lara kami bersyukur kerana dia ‘menggegar’ negara hanya berbekalkan keberanian dan motivasi tinggi mengutuskan warkah kepada jeneral Covid-19 kebanggaan negara kita,” katanya.

Kelmarin tular dalam laman sosial surat balas daripada Dr Noor Hisham yang bertarikh 16 April yang menyatakan beliau menghargai kata-kata semangat serta pemberian ‘loom band’ oleh murid Tahun Tiga itu yang kini menetap bersama keluargannya di Seberang Takir, Kuala Nerus.

Sementara itu guru kelas, Wan Syafiqah Afifah Wan Mohd Annuar berkata, Lara adalah seorang murid yang pintar dan aktif di sekolah serta berani berbicara, dia juga mempunyai sifat kepimpinan walaupun baharu berusia sembilan tahun.

“Selain itu Lara seorang murid yang rajin, komited dalam pelajaran, suka membantu guru dan juga rakan-rakannya serta pandai menghargai sahabat dan guru kerana dia mementingkan persahabatan serta pernah memberikan gelang tangan ‘loom band’ itu kepada saya dan rakannya.

“Oleh kerana sifat yang ada padanya itu menyebabkan dia berani meluahkan idea bernas dengan menulis surat sebelum mengutus kepada Dr Noor Hisham bagi menzahirkan penghargaan ketika negara berdepan dengan wabak Covid-19,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 19, 2020 @ 3:03pm
    d