mutakhir

Pegawai polis maut dalam kemalangan

Oleh Zuliaty Zulkiffli

KETUA Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar maut selepas kereta peronda dinaiki bersama dua anggotanya terbabas dan terbalik di lampu isyarat Arkib Negara, Alor Setar, hari ini.

Dalam kejadian pada 11.30 pagi, hari ini, mangsa, Asisten Superintendan Aldrin anak Gonda, 38, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah.

Bagaimanapun, dua lagi anggota, Konstabel Abdul Hafizal Duim, 26, yang memandu kereta dan rakannya, Konstabel Muhammad Fikri Zulkipli, 26, yang duduk di tempat duduk belakang masing-masing luka di kepala dan kedua-dua kaki.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, pegawai terbabit dalam perjalanan ke Pantai Johor selepas menerima maklumat berkaitan tangkapan dadah dalam Op Covid-19.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, kereta peronda dinaiki ketiga-tiga mangsa terbabit kemalangan dengan sebuah motosikal nombor pendaftaran tidak dikenal pasti.

Beliau berkata, ketika kejadian, kenderaan polis terbabit dari arah Kanchut menghala ke arah Pantai Johor cuba mengelak motosikal yang mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kanan.

“Akibatnya, kereta peronda polis dinaiki ketiga-tiga mangsa hilang kawalan lalu terbabas.

“Pegawai kanan saya itu meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah,” katanya.

Mohd Rozi berkata, pihaknya sedang mengesan motosikal yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu berdasarkan keterangan saksi di lokasi kejadian.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Rozi berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat.

“Kita akan cuba menguruskan penghantaran mayat mendiang ke kampung halamannya di Sarawak walaupun masih dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini namun kita akan cuba.

“Mendiang baru tiga tahun berkhidmat di IPD Kota Setar dan pemergiannya satu kehilangan besar buat kami,” katanya.

Disiarkan pada: April 19, 2020 @ 3:42pm
d