mutakhir

PFA USM tawar khidmat kaunseling

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

PASUKAN Bantuan Awal Psikologi (PFA) Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kelantan mengambil inisiatif menyediakan khidmat kaunseling dan nasihat kepada kakitangannya serta orang awam yang terkesan susulan pandemik Covid-19.

Menurut Pakar Psikologi Klinikal, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Profesor Madya Dr Azizah Othman, berkata, seramai 32 kakitangan dalam pelbagai bidang serta PFA USM akan membantu memberi bantuan psikologi dan sokongan psikososial secara dalam talian sejak 1 April sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mereka terdiri daripada Pakar Psikiatri, Pakar Psikologi Klinikal, Kaunselor, Pegawai Psikologi Hospital, Pegawai Perubatan, Pelajar Sarjana Psikologi Klinikal dan Pegawai Pusat Pengetahuan Komunikasi dan Teknologi (PPKT).

Katanya, dalam tempoh krisis wabak Covid-19, sasaran utama adalah tertumpu kepada pegawai perubatan, pembantu perubatan serta jururawat di HUSM yang bertugas di barisan hadapan selain individu yang berurusan dengan orang ramai secara terus di hospital bagi membendung penularan wabak berkenaan.

“Selain kakitangan kesihatan, pesakit yang disahkan positif Covid-19 atau dikategorikan individu dalam siasatan (PUI), penuntut Kampus Kesihatan dan orang awam yang terbabit secara langsung mahupun tidak langsung turut diberi perhatian untuk mendapatkan khidmat nasihat serta kaunseling.

“Dalam keadaan sekarang apabila dunia dikejutkan dengan penularan wabak Covid-19, seseorang itu berhadapan dengan perubahan dan reaksi psikologi seperti keresahan, takut, bimbang, marah, ragu-ragu, tertekan atau merasa tidak mampu untuk bertahan terutama dalam meneruskan tugas.

“Walaupun mungkin ada sesetengah individu boleh mengatasi kesan psikologi ini dengan yakin dan tenang, tetapi ada juga di antara mereka yang tidak berjaya dan memerlukan sokongan luar dan di sinilah khidmat nasihat dan kaunseling diperlukan,” katanya.

Beliau berkata, setiap panggilan akan dilayan oleh pegawai yang berperanan mendengar segala permasalahan dialami pemanggil dan pegawai ini akan memberi maklumat dan kaedah untuk meredakan tekanan serta ketegangan yang dialami pada ketika itu sebelum menghubungkan pemanggil dengan perkhidmatan dan bantuan lain yang diperlukan.

“Sebagai contoh, sekiranya pemanggil didapati memerlukan kaunseling tambahan, perkhidmatan ini akan ditawarkan pada peringkat seterusnya tertakluk kepada syarat dan keadaan tertentu.

“Pada masa sama, mereka yang membuat panggilan secara dalam talian kepada pihak kami juga tidak perlu bimbang kerana semua maklumat yang dikongsi adalah sulit, terhad, dan diuruskan mengikut tatacara serta etika perubatan, psikologi dan kaunseling,” katanya.

Azizah berkata, USM mengalu-alukan sesiapa sahaja, termasuk orang awam yang terkesan secara psikologi akibat Covid-19 ini untuk mendapatkan khidmat nasihat serta sesi kaunseling yang disediakan oleh pihaknya tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Bagi mereka yang memerlukan khidmat nasihat serta sokongan yang ditawarkan oleh PFA, boleh menghubungi hotline PFA di talian 09-7671188 dari 8 pagi hingga 6 petang setiap hari.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 19, 2020 @ 4:32pm
    d