mutakhir

'Mendiang bos paling baik'

Oleh Zuliaty Zulkiffli

“SAYA sangat terkejut ketika mendapat berita pemergian mendiang kerana baru semalam kami berjumpa di pejabat, mendiang seorang bos paling baik dan sangat rapat dengan saya,” kata Konstabel Muhammad Izzudin Mohd Samsudin, 27.

Menurutnya, dia menerima berita pemergian Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, Asisten Superintendan Aldrin anak Gonda, 38, pada 12 tengah hari melalui kumpulan WhatsApp.

Katanya, semalam mendiang memberitahu beliau sayangkan semua anggotanya walaupun penat menjalankan tugas Op Covid setiap hari.

“Dia seorang yang sangat baik dan susah nak jumpa pegawai macam mendiang.

“Setiap kali kalau nak makan, dia takkan lupa anak-anak buah dia dan paling rapat dengannya adalah saya. Itu yang paling saya sedih,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, hari ini.

Mendiang Aldrin yang sudah tiga tahun bertugas di IPD Kota Setar meninggalkan isteri dan seorang anak lelaki berusia enam tahun.

Terdahulu, portal Harian Metro melaporkan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar maut selepas kereta peronda dinaiki bersama dua anggotanya terbabas dan terbalik di lampu isyarat Arkib Negara, Alor Setar, hari ini.

Dalam kejadian pada 11.30 pagi, hari ini, mangsa, maut di tempat kejadian akibat parah.

Bagaimanapun, dua lagi anggota, Konstabel Abdul Hafizal Duim, 26, yang memandu kereta dan rakannya, Konstabel Muhammad Fikri Zulkipli, 26, yang duduk di tempat duduk belakang masing-masing luka di kepala dan kedua-dua kaki.

Berita berkaitan

Pegawai polis maut dalam kemalangan

Disiarkan pada: April 19, 2020 @ 5:06pm
d