mutakhir

Kajian klinikal ubat Covid-19 di sembilan hospital KKM [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid dan Suraya Roslan

KETUA Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memulakan kajian klinikal bagi menguji keberkesanan dan keselamatan ubat Remdesivir untuk merawat pesakit Covid-19 dalam masa terdekat di sembilan hospital.

Menurutnya, sembilan hospital KKM yang mengambil bahagian di dalam WHO Solidarity Trial ini telah bersedia memulakan pengambilan peserta kajian dalam kalangan pesakit Covid-19 yang memenuhi kriteria ditetapkan.

“Jawatankuasa Etika dan Penyelidikan Perubatan (MREC) telah bekerjasama rapat dengan Badan Regulatori Farmasi Negara (NPRA) KKM yang bertindak sebagai badan regulatori bertanggungjawab meluluskan penggunaan ubat tersebut dalam kajian klinikal ini.

“Penilaian telah dibuat berdasarkan tiga aspek utama merangkumi aspek keselamatan, kualiti dan keberkesanan awal ubat tersebut berdasarkan data-data yang telah dikemukakan,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, menyedari kepentingan kajian klinikal itu dalam usaha memerangi pandemik Covid-19, MREC dan NPRA meluluskan protokol penyelidikan dan lesen import kajian klinikal (Clinical Trial Import Licence) bagi ubat Remdesivir dalam tempoh yang singkat, iaitu empat hari berkerja.

“Namun pada masa sama mengekalkan kualiti penilaian berdasarkan prosedur dan keperluan regulatori antarabangsa. Kelulusan segera ini telah tercapai melalui komitmen tinggi ditunjukkan ahli jawatankuasa MREC, lapan penilai NPRA dan pengurusan atasan bagi memastikan penilaian ubat ini adalah berkualiti serta dalam jangkamasa yang ditetapkan.

“Selain itu, kerjasama yang diterima daripada pemohon (Pusat Penyelidikan Klinikal, Hospital Ampang) dan pihak WHO dalam memberi dokumen-dokumen yang diperlukan MREC dan NPRA dalam masa yang singkat banyak membantu mempercepatkan proses kelulusan tersebut,” katanya.

Katanya, penyertaan Malaysia dalam kajiselidik sedunia ini dijangka dapat membantu dalam pencarian ubat menyelamatkan nyawa untuk Covid-19 melalui penilaian keselamatan dan keberkesanannya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 19, 2020 @ 5:40pm
    d