mutakhir

Tak galak orang ramai uji sendiri Covid-19 [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid dan Suraya Roslan

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menggalakkan orang ramai melakukan sendiri ujian mengesan virus Covid-19.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penggunaan kit ujian pantas atau ‘rapid test kit’ memerlukan antigen melalui kaedah ‘swab’ (calitan) di tekak atau hidung.

“Kaedah ‘swab’ sukar untuk kita laksanakan sendiri berikutan jika tersilap, keputusan yang akan dapat adalah negatif sebab virus tidak berada di situ.

“Kita juga tidak melatih orang ramai mengambil ‘swab’,” katanya dalam sidang media harian mengenai Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, ia berbeza dengan penggunaan kit ujian antibodi hanya melalui satu titisan darah.

“Tetapi perlu diingat, antibodi bukan untuk pengesanan (virus) tetapi hanya memaklumkan sama ada tubuhnya ada antibodi terhadap virus berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, kaedah saringan dilakukan KKM ketika ini bagi mengesan virus terbabit memadai bagi mengawal penularannya.

“Berdasarkan tanda aras ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) adalah 10 peratus, tetapi kita hanya lima peratus.

“Tumpuan saringan dibuat terhadap kontak rapat individu yang dijangkiti.

“Tanda aras WHO menetapkan kalau kita saring 100 orang, kalau 50 orang positif, makna lebih ramai yang positif ada dalam komuniti yang tidak dikesan. Kalau 50 peratus positif, kita kena tingkatkan saringan,” katanya.

Menurutnya, setakat hari ini seramai 109,308 orang sudah diuji dan 5,389 sahaja disahkan positif.

“Kita lebih baik dari tanda aras yang ditetapkan WHO iaitu 10 peratus. Banyak negara maju saringan yang hanya mencapai enam, tujuh peratus,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 19, 2020 @ 6:42pm
    d