mutakhir

Didenda pukul lelaki gagal bayar hutang

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

DUA sahabat dijatuhi hukuman denda RM1,500 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana memukul kepala dan badan seorang lelaki yang berhutang dengan mereka.

Selain itu, tertuduh, Muhammad Harith Haikal S.M. Safri, 20, dan Ahmad Azharuddin Ibrahim,24, turut berdepan hukuman penjara dua bulan sekiranya mereka gagal menjelaskan denda berkenaan.

Majistret Noor Mazrinie Mahmood membuat keputusan itu selepas dua tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) dan dibacakan bersama Seksyen 34 KK.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhamad Zahhar Razi, 23, dengan memukul kepala dan badan.

Mereka mengaku melakukan kesalahan itu di kawasan tanah lapang kawasan perindustrian Gong Badak, Kuala Nerus, 1 pagi pada 11 April lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna manakala dua tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mazlan Md Zein.

Mengikut fakta kes, mangsa yang berada di rumahnya didatangi dua tertuduh yang mengajaknya keluar.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, dua tertuduh bertindak memukul mangsa berikutan kegagalan lelaki terbabit menjelaskan hutang sebanyak RM5,000.

Disiarkan pada: April 19, 2020 @ 7:06pm
d