mutakhir

Rugi RM8,000 kedai proses santan terbakar [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

“DALAM masa beberapa minit sahaja api yang mulanya kecil merebak sehingga memusnahkan kedai santan saya,” kata mangsa kebakaran di Kampung Padang Pohon Tanjong, Tumpat pagi ini.

Khairul Afendi Mohamad, 31, berkata kejadian berlaku 10.30 pagi tadi ketika dia sedang memarut kelapa untuk dijadikan santan sebelum ternampak beberapa penduduk kampung sedang berlari di luar kedai.

Melihat keadaan itu, dia berasa pelik dan segera keluar untuk melihat apa yang berlaku dan ternampak api di dinding rumah kosong di sebelah kedainya.

“Bimbang api akan marak, saya segera ke belakang kedai untuk menyelamatkan kereta dan dibawa ke tempat lebih selamat.

“Selepas itu saya serta penduduk kampung cuba memadamkan api dengan menyimbah air namun tidak berhasil kerana api marak dengan cepat disebabkan cuaca panas dan tiupan angin,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Khairul Afendi yang sudah tujuh tahun menyewa premis itu berkata mesin parut dan perah kelapa hangus dalam kebakaran itu menyebabkan dia kerugian hampir RM8,000.

Menurutnya, mengikut perancangan asal, selain kelapa parut dan santan, dia berhasrat untuk menjual air kelapa pada bulan Ramadan ini namun segalanya musnah.

“Nasib baik masih ada lagi mesin parut dan perah kelapa yang sedia digunakan cuma lokasi sahaja belum saya fikirkan lagi memandangkan kedai sekarang hanya disewa sebanyak RM200,” katanya

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Penolong Penguasa Bomba Wan Baijuri Wan Hassan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.08 pagi.

“Seramai 32 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat, Wakaf Bharu dan Kota Darulnaim terbabit dalam operasi pemadaman.

“Kebakaran membabitkan sebuah kediaman jenis sementara kekal yang hangus 90 peratus manakala sebuah kedai proses santan 20 peratus.

“Kebakaran berjaya dikawal dalam masa 15 minit dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: April 19, 2020 @ 7:19pm
d