mutakhir

Maut dirempuh pikap

Oleh Zuliaty Zulkiffli

SEORANG lelaki maut selepas motosikal jenis Honda EX5 yang ditungganginya dilanggar sebuah pikap yang memasuki laluannya di Kilometer 12.3 Jalan Kuala Nerang - Naka, di Padang Terap, hari ini.

Dalam kejadian jam 2.45 petang itu, mangsa, Mohd Aiman Che Ngah, 27, dari Kampung Kubang Julok, Naka dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Padang Terap Deputi Superintendan Noh Idris berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila penunggang motosikal terbabit dalam perjalanan dari Naka ke Kuala Nerang manakala pemandu pikap itu dari arah bertentangan.

Bagaimanapun katanya, setibanya di lokasi kejadian, pemandu pikap berusia 38 tahun yang berasal dari Pendang itu dipercayai memasuki laluan motosikal dan kemudiannya merempuh motosikal pada bahagian hadapan.

“Akibat perlanggaran itu, pikap terbabit terbabas dan terbalik di bahu jalan sebelah kiri dari arah Kuala Nerang-Naka.

“Bagaimanapun motosikal yang ditunggangi Mohd Aiman dipercayai terseret di bahu jalan sebelah kanan dari arah Kuala Nerang-Naka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noh berkata, akibat kemalangan itu, pemandu pikap terbabit hanya cedera manakala penunggang motosikal meninggal dunia.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: April 19, 2020 @ 9:52pm
d