mutakhir

Covid-19 bukan bala sebaliknya ujian

Oleh Malik Muhamad

KRISIS pandemik Covid-19 tidak harus dihukum sebagai bala sebaliknya penularan wabak itu adalah ujian besar daripada Allah SWT yang mahukan manusia lebih berfikir.

Malah penutupan masjid dan surau ketika umat Islam bakal menyambut kedatangan bulan Ramadan beberapa hari sahaja lagi juga tidak harus dilihat sebagai musibah besar.

Timbalan Mufti Terengganu, Sahibul Fadilah Ahadi Othman berkata, apa yang berlaku ini adalah ketentuan, kehendak dan kekuasaan Allah SWT kerana dalam ujian ini ada rahmat dan hikmah di sebalik apa yang berlaku termasuk ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19.

“Segala yang terjadi di muka bumi ini adalah bawah pengetahuan Allah, tiada siapapun dapat melangkaui ilmu Allah. Firman Allah dalam surah al-Taghaabun ayat 11 yang bermaksud, tiadalah menimpa sesuatu musibah melainkan dengan izin Allah, siapa yang beriman kepada Allah akan diberi petunjuk kepadanya dan Allah mengetahui atas segala sesuatu.

“Ini bermakna manusia yang beriman percaya musibah besar ini sebagai rahmat dan sudah pasti akan bersangka baik bahawa wabak Covid-19 ini adalah ruang untuk Allah melipatgandakan lagi ganjaran kepada hambanya yang sabar.

“Tapi jika kita tidak beriman dan masih mengkufuri nikmat yang Allah bagi selama ini, maka tidak mustahil apa yang terjadi ini adalah bencana yang diturunkan kepada seluruh umat tanpa mengira sama ada mereka beriman ataupun sebaliknya.

“Dengan situasi pandemik yang terjadi ini, apa yang perlu dilihat ialah bagaimana mereka yang pernah merasakan dirinya hebat atas rezeki yang melimpah ruah selama ini tiba-tiba Allah sentap dengan sekelip mata nikmat sebagai tanda peringatan buat kita sebagai tanda kasih sayang Allah kerana dalam ujian ini terdapat banyak lubuk pahala,” ujarnya.

Beliau berkata, sebelum ini ada masyarakat yang menganggap penularan wabak pandemik Covid-19 ini adalah bala dan musibah yang besar lebih-lebih lagi masjid dan surau ditutup apatah lagi umat Islam bakal menyambut kedatangan bulan puasa.

“Memang tidak dinafikan akan kemuliaan tempat ibadat ini kerana ianya adalah rumah Allah, namun tidakkah kita berfikir selama ini tempat berkenaan sunyi dan hanya segelintir sahaja yang sudi datang mengadap Allah.

“Dalam situasi ini kita perlu melihat larangan yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa adalah ujian daripada Allah yang menjentik hati kita yang sebelum ini ada yang hanyut dan lalai dengan dunia semata-mata.

“Hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari bermaksud, tidak ada jangkitan penyakit melainkan dengan sebab, ini bermakna Nabi Muhammad menafikan penularan wabak penyakit yang tidak ada sebab sebaliknya Allah turunkan musibah atau sesuatu wabak ada sebabnya supaya manusia berfikir,” ujarnya.

Justeru beliau berkata, jika kita mengambil pengajaran daripada perspektif positif berhubung wabak ini, hakikatnya Allah hendak kurniakan kerahmatan dan keberkatan yang terselindung di sebaliknya.

“Dalam kelalaian manusia ada pengampunannya, di sebalik musibah ada hikmahnya. Begitu juga ujian Allah yang besar ini ada rahmatnya, dengan kedatangan bulan Ramadan nanti, masa yang terluang ini gunakanlah semaksimum mungkin yang mana sebelum ini dilakukan di masjid tapi kali ini perlu melakukannya di rumah bersama keluarga.

“Sesungguhnya Ramadan yang bakal ditempohi ini bolehlah dianggap sebagai dalam ujian ada rahmatnya,” ujarnya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 20, 2020 @ 10:52am
    d