mutakhir

Bantah guna hempedu beruang rawat Covid-19

Oleh Zuhainy Zulkiffli

SAHABAT Alam Malaysia (SAM) kesal dengan kenyataan Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China apabila mengesyorkan penggunaan hempedu beruang dalam rawatan terhadap pesakit Covid-19 yang kritikal.

Presidennya Meenakshi Raman berkata, tindakan itu tidak selaras dengan pengumuman China pada 24 Februari lalu, yang melarang pemerdagangan hidupan liar secara menyeluruh bagi mengekang penularan wabak itu.

Katanya, rawatan menggunakan hempedu beruang tidak akan menghentikan aktiviti pemerdagangan haiwan bagi makanan, sebaliknya secara tidak langsung mempromosikannya bagi tujuan lain.

“Adalah lebih penting, mereka menghentikan penggunaan bahagian organ hidupan liar dalam perubatan terutama daripada spesies terancam seperti beruang.

“Mempromosikan ubat-ubatan mengandungi organ hidupan liar dalam era kehilangan biodiversiti ini termasuk dalam pemerdagangan haram adalah tindakan tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tinjauan terbaharu yang dilakukan di China menunjukkan sebahagian besar responden menentang penggunaan hidupan liar dalam bidang perubatan.

Katanya, penggunaan organ hidupan liar secara berterusan dalam perubatan tradisional juga hanya akan mendorong permintaan terhadap hidupan liar yang terancam.

“Sasaran utama pemerdagangan hempedu itu ialah beruang hitam Asia (Ursus thibetanus) atau beruang bulan dan ia turut disenaraikan dalam Senarai Merah International Union for Conservation of Nature IUCN.

“Tidak banyak yang diketahui mengenai jumlah populasinya, walaupun hanya 25,000 yang mungkin hidup di alam liar. Ia pasti sudah hampir pupus di kebanyakan habitat dan populasi semakin merosot.

“Pemerdagangan ini juga turut menyasarkan beruang matahari (Helarctos malayanus) yang terancam selain pelbagai subspesies beruang coklat.

“Disebabkan Beijing sudah bersetuju dengan penggunaan hempedu beruang dalam rawatan Covid-19, SAM bimbang akan berlaku peningkatan dalam insiden pemburuan haram,” katanya.

Di seluruh China, kira-kira 20,000 beruang dikurung dalam kandang kecil dalam keadaan kejam bagi memenuhi permintaan daripada pembekal ubat tradisional.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 20, 2020 @ 3:13pm
    d