mutakhir

Kadar jenayah menurun di Selangor

Oleh Norzamira Che Noh

STATISTIK jenayah indeks di Selangor sejak awal Januari hingga semalam mengalami penurunan sebanyak 18.31 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

Jurucakap Khas Op COVID-19 Polis Selangor Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, sebanyak 4,675 kes jenayah indeks direkodkan pada 1 Januari hingga semalam berbanding 5,723 kes pada tahun lalu.

“Secara pecahan, jenayah kekerasan menurun sebanyak 22.9 peratus iaitu daripada 1,292 kes tahun lalu kepada 995 kes untuk tahun ini.

“Jenayah harta benda, berlaku penurunan kes sebanyak 16.95 peratus iaitu 4,431 kes (2019) kepada 3,680 kes (2020) dan jenayah jalanan merekodkan penurunan sebanyak 28.18 peratus daripada 866 kes kepada 622 kes,” katanya ketika sidang media Op COVID Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata, pihaknya masih membuat kajian mengenai punca penurunan kes jenayah indeks dan tidak menolak kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi antara faktor penurunan.

Menurutnya, ia berikutan masyarakat kurang keluar seterusnya risiko untuk menjadi mangsa jenayah indeks juga berkurangan.

Sementara itu, Muhammad Yazid berkata, sebanyak 2,771 laporan diterima pihaknya sepanjang tempoh PKP.

“Sehingga semalam, kita melakukan 3,431 tangkapan kerana ingkar PKP dan 1,573 kertas siasatan sudah dibuka.

“Semalam, kita menangkap 214 orang yang mana 82 daripadanya adalah warga asing.

“Tangkapan itu menjadikan keseluruhan warga asing yang ditahan kerana ingkar PKP sejak 18 Mac lalu adalah seramai 1,400 orang,” katanya.

Menurutnya, Polis Selangor juga meningkatkan sekatan jalan raya kepada 101 lokasi di seluruh negeri.

Disiarkan pada: April 20, 2020 @ 6:45pm
d