mutakhir

Lori kimia terbalik, penduduk kosongkan kediaman

Oleh Amir Mamat

BEBERAPA penduduk di Batu 11 Jalan Sungai Udang di Melaka terpaksa mengosongkan kediaman apabila lori kontena yang membawa muatan bahan kimia mudah terbakar jenis Risen, terbalik, petang hari ini.

Langkah itu diambil bagi tujuan keselamatan selepas lori dipandu lelaki berusia 37 tahun itu gagal dikawal sebelum terbalik pada 4.20 petang ketika dalam perjalanan membawa muatan cecair kimia berkenaan dari sebuah kilang di Tangga Batu menghala ke Tol Ayer Keroh.

Pakar Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli, berkata kemalangan berlaku apabila pemandu itu dipercayai gagal mengawal kenderaan di satu selekoh di jalan terbabit, lalu terbalik.

“Pemandu lori terbabit dilaporkan mengalami cedera ringan, namun kemalangan itu menyebabkan muatan cecair kimia tumpah dan mengalir ke dalam parit berhampiran.

“Sepasukan HAZMAT dari Alor Gajah tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian bagi mengawal pengaliran cecair itu daripada terus melimpah ke parit seterusnya ke Sungai Ayer Salak dan Paya Luboh,” katanya ketika ditemui di lokasi berkenaan, hari ini.

Berikutan kejadian itu, sebanyak 1.7 tan cecair kimia Risen tumpah menyebabkan pihak HAZMAT melakukan semburan buih bagi menstabilkan tumpahan bahan itu.

Zulkhairani berkata, pihaknya akan berusaha untuk memastikan sungai berhampiran tidak tercemar dengan bahan kimia itu.

Katanya, beberapa kaedah sudah dilakukan termasuk melakukan sekatan khas di parit untuk mengelak bahan kimia itu mengalir secara terus ke sungai.

“Bahan kimia itu jenis yang terapung dan memudahkan kita menyekat ia daripada mengalir bersama air parit,” katanya.

Disiarkan pada: April 20, 2020 @ 11:02pm
d