mutakhir

Mengaku salah menipu penjualan cecair pembasmi kuman

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

PENGANGGUR didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Bahau, hari ini, selepas mengaku salah menipu penjualan cecair pembasmi kuman, penutup hidung dan mulut yang tidak wujud.

Tertuduh, Mohamad Firdaus Abdul Basir, 23, dari Padang Serai, Kedah mengaku salah selepas pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Khir Nizam Jemari.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 19 Mac lalu bertempat di Taman Kasih Putera, Bahau dengan curang membantu menyembunyikan wang RM330 milik seorang wanita ke dalam akaun bank tertuduh.

Oleh yang demikian tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan.

Khir Nizam turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: April 21, 2020 @ 12:09pm
d