mutakhir

9 kes rugi RM53,135

Oleh Nur Izzati Mohamad

SEMBILAN kertas siasatan dibuka membabitkan penipuan pembelian topeng penutup mulut dan hidung di Kepala Batas, bernilai RM53,135.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa terkini adalah seorang pekerja swasta yang kerugian RM550 apabila membeli tujuh kotak topeng itu di Facebook (FB) minggu lalu.

“Mangsa seorang lelaki berusia 29 tahun mahu membeli topeng berkenaan untuk kegunaan sendiri dan rakan-rakannya, disebabkan sukar mendapatkannya di farmasi.

“Bagaimanapun, dia tidak sedar sudah termasuk perangkap sindiket penipuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila tidak menerima topeng berkenaan seperti dijanjikan dan membaca komen daripada pengguna FB yang turut ditipu sindiket sama.

“Mangsa membuat laporan polis semalam dan siasatan mendapati dia ditipu sindiket yang didalangi warga tempatan,” katanya.

Menurutnya, sudah ada sembilan kes berkaitan penipuan begitu di Kepala Balas yang membabitkan kerugian lebih RM50,000.

Beliau menasihati orang ramai supaya berwaspada membuat belian dalam talian dan membuat semakan melalui laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmula/ terlebih dahulu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 21, 2020 @ 1:30pm
    d