mutakhir

Sembilan dihadapkan ke mahkamah ingkar PKP

Oleh Juwan Riduan

SEMBILAN lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Keningau hari ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid berkata, sepanjang tempoh PKP Fasa tiga, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom sudah membuka tujuh kertas siasatan membabitkan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.3) 2020.

Katanya, kesalahan berkenaan juga boleh dihukum mengikut Peraturan 11, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap tertuduh.

“Hari ini, kita menghadapkan sembilan lelaki ke Mahkamah Majistret Keningau selepas ditahan kerana ingkar arahan PKP.

“Difahamkan, semua tertuduh berusia 23 hingga 59 tahun mengaku salah dan mahkamah mengarahkan tujuh individu menjalani khidmat masyarakat empat jam sehari selama tiga bulan dan dikenakan jaminan RM1,000 tanpa deposit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Hasan berkata, sekiranya gagal, mereka boleh dikenakan hukuman denda RM1000 atau penjara selama tiga bulan.

Katanya, hukuman berkenaan akan dijalankan selepas PKP selesai dan pesalah perlu melapor diri kepada Jabatan Penjara Malaysia mengikut Akta Perintah Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (PKW) 1954 yang mana pihak penjara akan menentukan jenis khidmat masyarakat dilakukan oleh individu berkenaan.

“Manakala dua lagi individu yang didakwa dikenakan hukuman denda RM300 dan sekiranya gagal membayar dipenjara selama tiga hari namun kedua-dua tertuduh membayar denda,” katanya.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Abdullah Ismail di hadapan Majistret Marlina Ibrahim manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: April 21, 2020 @ 3:23pm
d