mutakhir

Dua lelaki nafi miliki dadah

Oleh Mohd Khidir Zakaria

DUA lelaki termasuk seorang remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Port Dickson, hari ini atas pertuduhan memiliki dadah yang dijumpai dalam kereta selepas ditahan dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) ketika Perintah Kawalan Pergerakan.

Pengakuan itu dibuat kedua-dua tertuduh di hadapan Majistret Siti Huzaifah Abdul Talib sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tertuduh, Muhd Saupian Razak, 33, yang bekerja sebagai pembantu kedai dan rakannya berusia 17 tahun yang tidak bekerja, didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine anggaran berat 0.43 gram yang dijumpai di dalam kereta dan pertuduhan ingkar PKP apabila bergerak dari satu tempat ke tempat lain ketika ditahan.

Perbuatan itu dilakukan mereka dalam SJR pada 6.30 petang 16 April lalu di Kilometer 11, Lukut di Jalan Seremban-Port Dickson.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan 7(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes untuk laporan kimia pada 19 Mei depan dan kedua-dua tertuduh dikenakan jamin mahkamah sebanyak RM2,000 setiap seorang dan mereka membayar wang jaminan itu.

Untuk pertuduhan kedua berkaitan ingkar PKP, Muhd Saupian mengaku salah dan dihukum penjara empat hari dari tarikh tangkapan 16 April lalu dan denda sebanyak RM900 atau enam hari penjara jika gagal membayar denda sebelum tertuduh membayar denda berkenaan.

Manakala pesalah juvana pula turut mengaku bersalah dan diberi jaminan mahkamah sebanyak RM500 sebelum sebutan kes laporan akhlak atas kesalahan juvana ditetapkan pada 19 Mei depan.

Disiarkan pada: April 21, 2020 @ 3:46pm
d