mutakhir

94 peratus denggi berpunca di dalam rumah

Oleh Mohd Rafi Mamat

PAHANG mencatatkan 969 kes denggi dalam tempoh empat bulan tahun ini dengan Kuantan paling tinggi iaitu lebih 600 kes.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Abd Rahim Muda berkata, sikap cuai dan ambil mudah penduduk menyebabkan persekitaran tempat tinggal jadi tempat pembiakan Aedes.

Katanya, kawasan perumahan Sungai Isap, Kuantan antara lokasi tertinggi wabak itu dengan 94 peratus tempat tinggal penduduk jadi tempat pembiakan nyamuk.

“Sebelum ini pembiakan Aedes banyak berlaku di luar rumah seperti dalam pasu bunga, botol, tayar dan bekas takungan air.

“Namun mulai tahun ini rekod Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan yang sentiasa memantau kawasan terbabit mendapati 94 peratus pembiakan berlaku dalam rumah.

“Ia amat berbahaya kepada isi rumah kerana terdedah kepada demam denggi,” katanya pada Program Bersepadu Sanitasi Awam Covid-19 dan Pencegahan Denggi di Dewan Orang Ramai Sri Mentiga, Sungai Isap 1, Kuantan hari ini

Abd Rahim berkata, walaupun pelbagai usaha dilakukan PKD Kuantan, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Alam Flora dan Swcoap secara berterusan, ia masih kurang berhasil disebabkan sikap penduduk yang tidak berminat menjaga kebersihan.

Katanya, kerajaan memandang serius kadar kes denggi khususnya di Sungai Isap yang mencatatkan 99 kes dan berlarutan sejak tahun lalu.

Dalam pada itu, beliau berkata, satu kes positif Covid-19 dilaporkan di kawasan berkenaan dan usaha dilakukan pelbagai pihak untuk mengekang penularannya.

“Usaha sanitasi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang giat dilakukan secara berterusan di seluruh negeri dan 300 lokasi termasuk premis kerajaan disembur dengan bahan pembasmi,” katanya.

Disiarkan pada: April 21, 2020 @ 3:49pm
d