mutakhir

Sisa minyak hitam cemar Sungai Linggi

Oleh Mohd Amin Jalil

TUMPAHAN atau pembuangan minyak hitam kenderaan terpakai oleh pihak tidak bertanggungjawab menyebabkan berlaku pencemaran di Sungai Linggi berhampiran Rasah, Seremban.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerima aduan daripada seorang pemancing mengenai kejadian tumpahan minyak itu, petang semalam.

Beliau berkata, tumpahan itu berlaku di dalam Sungai Linggi berdekatan dengan stesen minyak di Batu 3, Jalan Rasah, di sini.

Menurutnya, siasatan awal dijalankan Ketua Penolong Pengarah JAS negeri, S Sivanathiran bersama wakil Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan, Mohamad Shariff Sulaiman mendapati tiada bau ketara.

“Berpandukan hasil siasatan itu mendapati berlaku tumpahan minyak hitam dan dikesan mengalir bersama aliran air sungai sebelum hilang dari pandangan.

“Setakat ini impak tumpahan minyak itu adalah minimum dan dipercaya ada individu menjalankan aktiviti berkaitan enjin kenderaan berdekatan sungai sehingga menyebabkan tumpahan sedikit minyak hitam.

“Siasatan lanjut turut dilakukan di tiga lokasi untuk membuat susulan kesan tumpahan minyak dan bau,” katanya.

Veerapan berkata, JAS akan menjalankan siasatan lanjut serta menyeluruh dan terus memantau untuk memastikan tiada pencemaran serius berlaku di sungai itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan terhadap sebarang kegiatan pencemaran sungai.

Disiarkan pada: April 21, 2020 @ 5:12pm
d