mutakhir

Hadiah buat adiwira negara [METROTV]

Oleh Mohd Amin Jalil

SEORANG remaja memilih untuk menghadiahkan ukiran kayu gambar Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, sebagai tanda penghargaannya kepada beliau yang kini berkerja keras menangani wabak Covid-19.

Nur Aisya Humayraa Norazizi, 13, dari Taman Bandar Senawang, Seremban, menyambut hari lahirnya hari ini iaitu sama dengan hari lahir Dr Noor Hisham.

Dia meminta ibu bapanya menyediakan hadiah berkenaan kerana kekagumannya terhadap Dr Noor Hisham.

“Saya tak sangka berkongsi tarikh lahir sama dengan beliau. Selama ini saya tak kenal pun beliau, tapi sekarang ini hari-hari saya tengok wajahnya di televisyen dan Facebook.

“Saya anggap beliau sebagai adiwira Malaysia dan harapnya beliau terus kuat dan diberi kesihatan baik untuk terus bekerja bagi memastikan negara kita bebas Covid-19,” katanya.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, dia sepatutnya terbang ke Jogjakarta, Indonesia bersama ibu saudaranya semalam untuk bercuti, tetapi hasrat itu terhalang susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dia mengakui terkilan kerana tidak dapat pergi bercuti walaupun semua persediaan sudah dibuat.

“Saya akur dengan arahan kerajaan demi keselamatan semua dan mungkin ada rezeki lain.

“Apapun saya gembira dan bangga berkongsi tarikh lahir sama dengan wira kita semua,” katanya.

Sementara itu, Norazizi A Aziz, 40, berkata, dia dan isteri bersedia memenuhi permintaan anaknya itu kerana melihat kesungguhannya memberi idea yang boleh diberikan kepada Dr Noor Hisham.

Menurutnya, dia mendapat kerjasama rakannya yang bersedia membantu dan mengambil masa seminggu untuk menyiapkan hadiah berkenaan.

“Jika diikutkan kami nak pergi hantar dan sampaikan sendiri hadiah ini kepada beliau, tetapi dalam keadaan sekarang susahlah sikit untuk bergerak.

“Jika ada sesiapa boleh bantu kami untuk sampaikan hadiah ini, memang sangat dialu-dialukan. Hadiah ini mungkin kecil, tapi sangat besar pada kami kerana dapat memenuhi hasrat anak,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 21, 2020 @ 5:30pm
    d