mutakhir

Pendekatan sains diplomasi bagi pembangunan vaksin

Oleh Mahaizura Abd Malik

MALAYSIA mengambil pendekatan sains diplomasi bagi menyertai proses pembangunan vaksin Covid-19 di peringkat antarabangsa.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, kolaborasi pihaknya antara Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Kesihatan Malaysia penting bagi menentukan Malaysia berada di landasan terbaik.

“Sekarang ini sedang berlaku pra klinikal dan klinikal trial untuk vaksin di beberapa negara. Kami melihat senarai pembangunan vaksin di seluruh dunia dan kita buat keputusan untuk adakan satu pendekatan berdasarkan sains diplomasi.

“Di peringkat MOSTI dan KKM, kita akan kenal pasti vaksin dan perubatan yang diperlukan dan melihat pembangunan vaksin dan negara yang sedang membangunkan vaksin itu,” katanya.

Menurutnya, maklumat itu akan dikongsikan dengan Wisma Putra yang akan menggunakan diplomasi dan hubungan baik antara Malaysia dan negara yang menghasilkan vaksin supaya Malaysia dapat terbabit dalam peringkat ujian ‘human trial’.

“Keduanya, supaya Malaysia terbabit dalam penghasilan vaksin dan Malaysia dapat terimanya secepat mungkin apabila vaksin itu tersedia dan siap untuk diguna pakai orang ramai,” katanya dalam sidang media khas bersama Kementerian Luar Negeri hari ini.

Beliau berkata, Malaysia kini sedang mempertimbangkan usahasama dengan beberapa negara yang aktif membangunkan vaksin itu.

“Kita sudah kenal pasti beberapa negara yang akan dimajukan beberapa cadangan dari Malaysia dan ada negara itu memajukan cadangan kepada kita untuk bantu dari segi ‘human trial’. Kita sudah melihat beberapa yang berhubung dengan Malaysia dan negara yang berada pada tahap kemajuan membangunkan vaksin.

“Antara senarai awal termasuk China, United Kingdom, Korea Selatan dan India manakala bagi perubatan membabitkan Bosnia saya difahamkan Wisma Putra ada hubungan baik dengan negara itu. Rusia juga sudah berhubung dengan kita,” katanya dalam sidang khas bersama Kementerian Luar Negeri hari ini.

Katanya, Wisma Putra boleh menyakinkan supaya Malaysia menjadi negara keutamaan menerima vaksin melalui hubungan baik Malaysia dengan negara berkaitan.

Disiarkan pada: April 21, 2020 @ 6:00pm
d